NADI - click for home

NADI - click for home
  Follow us on:    
 

NADI
username:  
 
password:  
 
[lost your password?]
 
About Us Join NADI Donate Now Get Involved Contact Us Home
 
    Home All About Diabetes » Pre-Diabetes » 
 

Pradiabetes: Jaga berat badan

Date: 29 October 2006

Pada keluaran dua minggu lepas, Institut Diabetes Negara (NADI) ada menceritakan tentang pradiabetes, keadaan di mana paras glukosa darah anda adalah lebih tinggi daripada paras normal. Namun, ia masih tidak cukup tinggi untuk mengkategorikan anda sebagai menghidap penyakit diabetes.

Walaupun begitu, seperti yang kami nyatakan, pradiabetes bukan sahaja dapat menyebabkan anda menghidapi diabetes malah akan meningkatkan risiko terkena serangan jantung atau strok.

Penyakit-penyakit tersebut boleh berlaku kerana paras glukosa dalam darah anda yang lebih tinggi daripada normal secara berterusan, akan merosakkan saluran darah besar anda.

Keadaan ini akan bertambah teruk sekiranya anda menghidapi tekanan darah tinggi, tahap lipid darah (lemak dalam darah) yang tinggi atau anda obes iaitu berlebihan berat badan - tiga keadaan yang biasa dialami oleh mereka yang mempunyai pradiabetes.

Oleh kerana pradiabetes lazimnya tidak menunjukkan sebarang tanda, ia sering diabaikan. Oleh itu, kami berharap anda telah mengikuti nasihat kami dengan menjalani ujian glukosa darah di klinik doktor anda atau farmasi yang berdekatan.

Sekiranya tahap glukosa darah anda berada di antara 5.6 dan kurang dari 7.0 mmol/L (semasa berpuasa) atau antara 7.8 dan kurang 11.1 mmol/L (dua jam selepas makan), doktor anda harus menjalankan ujian darah susulan tertentu untuk mengesahkan sama ada anda betul-betul ada pradiabetes atau menghidap diabetes jenis 2.

Sekiranya anda telah didiagnosis menghidap pradiabetes, janganlah berputus asa. Adalah lebih baik anda mengetahuinya sekarang dan mengambil tindakan tegas untuk menjaga kesihatan anda.

Lebih-lebih lagi, kajian di China, Amerika Syarikat dan Finland menunjukkan bahawa anda mampu mengurus pradiabetes dengan jayanya dan juga dapat mengembalikan paras glukosa darah yang tinggi ke paras normal. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah sedikit perubahan positif dalam gaya hidup anda.

*Kaitan obesiti dan rintangan terhadap insulin

Paras glukosa darah anda akan meningkat lebih tinggi daripada paras normal apabila glukosa (yang dihasilkan dari makanan dan hati anda) tidak boleh memasuki sel-sel badan dengan efektif dan akan berkumpul di dalam darah anda.

Situasi ini berlaku apabila sel-sel badan menjadi kurang sensitif terhadap insulin, sejenis hormon yang membantu mengangkut glukosa ke sel-sel badan.

Para doktor menamakan keadaan ini sebagai ‘rintangan terhadap insulin’ dan percaya ia terjadi apabila terdapat terlalu banyak lemak di dalam badan, terutama sekali jika di bahagian abdomen dan seterusnya akan mengganggu tindakan insulin.

Penurunan berat badan sebanyak 5 hingga 10 peratus terbukti dapat meningkatkan keupayaan sel-sel badan untuk menerima lebih banyak glukosa dari darah, seterusnya menurunkan paras glukosa darah yang tinggi ke paras normal.

Sekiranya anda obes atau gemuk, anda perlu lakukan tiga perkara untuk menurunkan berat badan - kurangkan pengambilan kalori (tenaga), tingkatkan aktiviti fizikal dan kekalkan usaha untuk mencapai matlamat anda menurunkan berat badan.

Beberapa tip praktikal yang boleh anda ikuti:

Kurangkan kalori!

* Elakkan makan berlebihan.

* Makan dalam saiz hidangan yang kecil daripada normal.

* Makan sarapan pagi, tengah hari dan malam secara tetap.

* Tahan selera untuk makan snek dan jangan makan lewat malam.

* Elakkan makanan berminyak dan berlemak umpamanya makanan bergoreng, kulit ayam dan lemak daging kerana tinggi kalori (tenaga).

* Kurangkan pengambilan gula serta makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula.

* Jika memilih makanan berproses, pilihlah yang rendah atau tiada kandungan lemak dan gula. Baca label sebelum membeli.

* Ambil makanan berkarbohidrat kompleks dalam kadar yang munasabah seperti nasi, roti,ubi dan mi.

* Lebihkan pengambilan kekacang, sayur-sayuran dan buah-buahan kerana ia rendah kalori.

* Dapatkan doktor merujuk anda ke pakar diet untuk menasihat satu pelan pemakanan yang paling sesuai untuk diri anda.

Banyakkan bergerak!

* Berjalan di mana saja. Guna tangga, berjalan kaki. Sekiranya anda tidak perlu memandu, letakkan kereta di tempat yang lebih jauh supaya anda boleh berjalan untuk sampai ke destinasi anda.

* Membuat kerja di rumah seperti membasuh kereta atau berkebun. Lakukan apa sahaja kerja yang tidak melibatkan anda berehat disofa.

* Lakukan senaman aerobik dengan kerap (setiap hari sekiranya mampu, jika tidak lakukannya sekurang-kurang 3 hingga 4 kali seminggu). Berjalan secara cergas, berbasikal atau berenang adalah senaman yang terbaik.

* Sekiranya doktor mengesahkan anda cukup cergas, anda boleh melakukan senaman yang lebih berat seperti berjoging, berlari atau bermain sukan. Pakailah pakaian sukan yang sesuai dan selesa.

* Sekiranya anda sudah lama tidak aktif, lakukan perubahan gaya hidup aktif secara perlahan-lahan. Ambil beberapa minggu untuk membiasakan diri sehingga anda mampu melakukan senaman selama 30 minit setiap sesi pada intensiti yang sederhana.

* Minta doktor merujuk anda kepada ahli fisioterapi jika mengalami kesakitan otot atau sendi yang menyebabkan anda sukar bersenam.

Kekal dengan matlamat!

* Dapatkan doktor untuk membantu menetapkan matlamat penurunan berat badan yang bersesuaian dan mengawasi perkembangan diri anda.

* Jangan tetapkan tahap pencapaian yang terlalu tinggi. Sebaliknya, cuba turunkan berat badan secara beransur-ansur dan berterusan.

* Elakkan diet melampau.

* Rujuk kepada doktor sebelum mencuba pil pelangsing badan, barangan herba atau suplemen.

* Timbang berat badan anda pada hari dan waktu yang sama setiap minggu untuk memantau perkembangan diri anda.

* Sekiranya anda tersasar matlamat, ingatkan balik pada diri anda tentang matlamat tersebut dan lakukan aktiviti menurun berat badan semula.

* Cuba capai sasaran berat badan yang unggul untuk anda dan kekalkannya.

- Datuk Prof. Mustaffa Embong merupakan Pakar Perunding Diabetes, NADI.

Artikel ini merupakan sumbangan Program Menangani Wabak Diabetes (FAD) yang dianjurkan oleh Institut Diabetes Negara (NADI) dengan usaha sama Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Dietitian Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia.

Program ini juga disokong dengan geran pendidikan tanpa syarat daripada program ‘Taj Mahal Rice For Life’, Pharmaniaga Berhad dan Gardenia Breakthru. Untuk pertanyaan, sila hubungi Sekretariat FAD di talian 03-56211408.

Dua minggu akan datang: Pemakanan untuk pradiabetes.

This article was first published in Mingguan Malaysia  on 29 October 2006. 

 


  printer Printer-friendly version   printer Send link to a friend






 
| | | |

Copyright 2009 National Diabetes Institute (NADI). All rights reserved 2009
designed & maintained: mobition